Tali pinggang keledar bas, wajib atau sekadar pilihan?

TELUK INTAN – Walaupun pemakaian tali pinggang keledar telah lama diwajibkan dalam kenderaan persendirian, kepatuhan terhadap peraturan ini dalam kalangan penumpang bas ekspres masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Kementerian Pengangkutan mengambil langkah tegas dengan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua penumpang dan pemandu bas ekspres di seluruh negara bermula 1 Julai 2025.

Arahan ini terpakai kepada semua bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang lebih lama diberikan tempoh masa untuk memasang kemudahan tersebut.

Penguatkuasaan ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian akibat kemalangan.

Zulaikha dan Farisya, dua penumpang bas ekspres yang ditemui berkata, walaupun ada tali pinggang keledar disediakan, penggunaannya masih belum menjadi kebiasaan.

“Pada pandangan saya, tali pinggang keledar dapat elakkan kita daripada apa-apa bahaya. Kalau bas nak terbalik ke, sekurang-kurangnya kita tak tercampak,” kata Zulaikha.

“Mestilah penting, sama saja macam naik kereta. Kalau berlaku apa-apa, boleh kurangkan kecederaan,” tambah Farisya yang berpendapat tali pinggang keledar membuatkan penumpang rasa lebih selamat.

Bagi pemandu bas, Norsham, walaupun ramai penumpang sudah tahu tentang kewajipan ini, mereka masih perlu diberi peringatan.

“Kebanyakan pelanggan dah tahu. Tapi bila kita beritahu lagi sekali, baru mereka kabut nak pakai. Sepatutnya mereka dah tahu, bila naik bas terus pakai.

“Kalau tak diingatkan, mereka tak pakai. Kita cuma ikut arahan, demi keselamatan penumpang dan juga pemandu,” katanya.

Tambah beliau, pematuhan peraturan ini penting bagi mengelakkan tragedi seperti kemalangan maut yang pernah berlaku sebelum ini.

Penumpang dan pemandu yang ingkar arahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM300. Pengusaha atau pemandu bas yang gagal mengingatkan penumpang tentang kewajipan memakai tali pinggang keledar juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

BACA JUGA:  Pelanggan terkejut beli pisang goreng tiramisu dapat sekali cicak

Penguatkuasaan ini bukan sekadar untuk mematuhi peraturan, tetapi merupakan usaha menyelamatkan ribuan nyawa. Beberapa tragedi lalu membuktikan bahawa tanpa perlindungan minimum seperti tali pinggang keledar, impak kemalangan boleh menjadi lebih parah.

Masyarakat diseru untuk tidak mengambil mudah perkara ini dan sentiasa memakai tali pinggang keledar, bukan sahaja dalam kereta, malah semasa menaiki bas ekspres dan kenderaan awam lain.

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com