PUTRAJAYA – Malaysia terus menegaskan pendirian menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka, namun langkah itu perlu dicapai tanpa sebarang prasyarat yang boleh bercanggah dengan dasar luar negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia berasa kurang selesa dengan hasil Deklarasi New Yorkberhubung penubuhan negara Palestin merdeka kerana syarat yang digariskan tidak selari dengan pendirian tersebut.
“Kita punya sokongan untuk mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, itu memang sokongan daripada dulu lagi.
“Jadi, kita kurang selesa, saya kata bukan tidak sokong, cuma kurang selesa dengan Deklarasi New York. Kerana ada 122 buah negara menyokong usul itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia.
“Tetapi, bila buat dapatan, ia tidak dibawa kepada perbincangan bersama seluruh anggota PBB yang menyokong ataupun tidak menyokong,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, perbincangan deklarasi tersebut hanya diadakan secara meja bulat dengan kehadiran sekitar tujuh hingga lapan negara sahaja, selain menetapkan prasyarat tertentu.
“Itu kita kurang selesa, kerana kita mahu supaya sebuah negara Palestin yang merdeka, titik. No attachment nothing(tiada sebarang prasyarat).
“Kerana ‘attachment’ itu kemudian. Dapatkan negara Palestin yang merdeka dahulu. Selepas itu, siapa yang mentadbir Palestin adalah hak mereka,” jelasnya.
Mohamad turut menegaskan bahawa semua negara anggota PBB, sama ada 122 atau 190 buah negara, sepatutnya diberi peluang memberi pandangan sebelum sebarang dapatan dokumen dikeluarkan.
Pada 30 Julai lalu, Perancis dan Arab Saudi sekali lagi membentangkan Deklarasi New York di PBB dengan mengetengahkan cadangan pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara (2SS) bagi menamatkan konflik Israel-Palestin. Deklarasi itu turut memasukkan syarat utama supaya Hamas meletak senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin.

