Kuala Lumpur – Pertembungan dua jaguh perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Lee Zii Jia, bakal menjadi tumpuan apabila mereka diundi bertemu seawal pusingan pertama Terbuka Hong Kong yang bermula Selasa ini.
Berdasarkan ranking semasa, Jun Hao kini menghuni kedudukan ke-23 dunia, manakala Zii Jia berada di tangga ke-47 dunia tetapi dari segi rekod pertemuan, Zii Jia jelas lebih dominan apabila menewaskan Jun Hao dalam ketiga-tiga aksi sebelum ini, termasuk di suku akhir Terbuka Artik 2023 sebelum muncul juara.
Kedua-dua pemain kini memburu kebangkitan selepas kegagalan di Kejohanan Dunia di Paris minggu lalu.
Zii Jia yang baru pulih daripada kecederaan buku lali terkandas seawal pusingan pertama kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, manakala Jun Hao tumpas di pusingan kedua kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto.
Dalam acara beregu lelaki, gandingan nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil sebagai pilihan pertama menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy.
Mereka berpotensi berentap dengan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang merupakan pilihan kedua, di pentas final.
Sementara itu, beregu wanita negara yang juga juara bertahan, Pearly Tan-M Thinaah, akan membuka kempen menentang gandingan Taiwan, Chang Chin Hui-Yang Ching Tun.
Bagi acara beregu campuran, juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diundi bertemu pasangan England, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen.
Namun, status penyertaan mereka masih menjadi tanda tanya selepas kejayaan bersejarah di Paris.
“Kita memang daftar untuk Terbuka Hong Kong, tetapi kita akan lihat keadaan mereka. Jika tidak bersedia, mereka akan tarik diri,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto.

