KUALA TERENGGANU – Kanak-kanak yang pernah mencuri perhatian dunia dengan gelagat mesranya bersama sekawan kerbau, Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai The Kampung Boy, kini menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran.
Syukur, 20, berjaya menghabiskan Kursus Teknologi Motosikal di GiatMara Hulu Terengganu selepas enam bulan menimba ilmu, sebelum diraikan dalam Majlis Graduasi GiatMara ke-38 yang berlangsung Rabu lalu.
Menurut hantaran rasmi GiatMara Malaysia, Syukur bukan sahaja serasi dengan alam dan haiwan, malah memiliki kepakaran dalam bidang teknikal.
“Sentiasa menyertai pertandingan kemahiran yang dianjurkan, beliau kini menjadi ‘pomen muto’, menguruskan bengkel motosikal milik keluarga yang menjadi pilihan orang kampung serta rakan-rakan,” jelas kenyataan itu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Syukur turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaiannya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Alhamdulillah, terima kasih buat bonda tercinta, keluarga dan rakan taulan. Selamat maju jaya buat semua graduan,” tulisnya ringkas.
Syukur mula dikenali sekitar 10 tahun lalu apabila menjadi buruan lensa jurugambar tempatan dan antarabangsa kerana keunikannya berinteraksi dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63.
Fenomena itu mencapai kemuncak apabila salah satu gambar Syukur bersama sekawan kerbau dinobatkan juara peringkat Asia dan tersenarai antara 20 gambar terbaik dunia pada tahun 2019.

