SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang menyiasat tindakan seorang wanita yang dipercayai tidak menghormati bulan Ramadan menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya, Ahad lalu.
Pengarah JHEAINS, Asri Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
“Hasil penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati individu itu berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira pukul 6.45 petang.
“Semasa siaran langsung tersebut, dia didapati makan dan minum secara terbuka,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai khususnya umat Islam supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan Islam.
Tambahnya, JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus secara tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika sedang bersiaran langsung dan berinteraksi bersama pengikutnya di TikTok.

