KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.
Peguam syarie mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, lafaz cerai pertama berlaku sekitar September 2024 sebelum pasangan itu kembali rujuk pada bulan sama.
Menurutnya, lafaz cerai kedua pula dibuat pada April 2025 sebelum mereka kembali rujuk pada Jun tahun sama.
“Dakwaan mengatakan Aslam memfailkan cerai tidak tepat kerana beliau hanya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
“Apabila disebut pengesahan, bermaksud lafaz cerai dan rujuk sudah berlaku di luar mahkamah dan perlu disahkan di hadapan hakim bagi menentukan kesahihannya,” katanya ketika ditemui pada prosiding lafaz cerai dan rujuk pasangan itu di Mahkamah Syariah di sini, hari ini.
Menurutnya, permohonan tersebut difailkan pada 10 Mac lalu, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.
Katanya, prosiding hari ini penting bagi menentukan status sebenar hubungan pasangan itu sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.
“Mudahnya, memang sudah ada lafaz cerai dan juga lafaz rujuk, jadi sekarang kita mohon pengesahan di hadapan hakim.
“Sama ada lafaz itu sah atau tidak, kita tunggu keputusan mahkamah,” ujarnya.
Prosiding kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata isu perceraian dan rujuk pasangan berkenaan menjadi lebih rumit memandangkan mereka masih belum memperoleh sijil nikah kerana bernikah di Thailand.
Katanya, proses pendaftaran pernikahan di Malaysia juga masih belum selesai sepenuhnya.
“Apabila bernikah di Thailand, pasangan perlu melalui beberapa proses termasuk pendakwaan dan penguatkuasaan sebelum sijil pernikahan boleh diperoleh.
“Untuk memfailkan sebarang kes selepas pengesahan nikah, sijil pernikahan perlu ada terlebih dahulu,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin supaya mematuhi prosedur undang-undang bagi mengelakkan komplikasi pada masa hadapan.
“Jika mahu bernikah, lakukan mengikut saluran yang betul dengan membuat permohonan secara sah di mahkamah.
“Apabila tidak mengikut prosedur, ia akan menyukarkan keadaan kemudian hari,” katanya.
Terdahulu, pasangan itu dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah.
Pernikahan tersebut turut didakwa berlaku tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, Norman Hakim dan Abby Abadi.
Pada Mei 2025, pasangan itu pernah hadir ke mahkamah bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses pendaftaran dan penguatkuasaan masih belum selesai sehingga kini. -MYBERITA

