KUALA LUMPUR – Keikhlasan seorang lelaki warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendalami Islam menyentuh hati ramai apabila menerima naskhah al-Quran Braille dalam terjemahan bahasa Inggeris.
Perkongsian menyentuh hati itu dimuat naik oleh pendakwah bebas, Muhammad Roger Arnold menerusi hantaran di Facebook, yang memaparkan usaha membantu saudara baharu tersebut mendalami Islam.
Menurutnya, al-Quran Braille berkenaan diperoleh hasil bantuan rakan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai yang berusaha mendapatkan naskhah khas itu untuk diberikan kepada warga emas berkenaan.
“Beberapa hari kami usahakan untuk dapatkan al-Quran Braille ini. Alhamdulillah, pak cik sangat gembira bila terima al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris,” katanya.
Lebih menyentuh hati, warga emas itu sanggup berjaga sehingga lewat malam semata-mata menunggu ketibaan mereka.
“Walaupun kami sampai sekitar jam 10 malam, dia masih belum tidur dan tunggu kami. Siap pesan macam seorang ayah, suruh hati-hati di jalan raya,” katanya.
Dalam kunjungan tersebut, mereka turut memulakan bimbingan asas agama termasuk membantu lelaki berkenaan mengambil wuduk sebelum menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
Detik itu menjadi lebih bermakna apabila lelaki terbabit meluahkan rasa syukur selepas selesai menunaikan solat pertamanya sebagai seorang muslim.
“My first solat after being a Muslim, thank you,” katanya.
Walaupun masih dalam keadaan kurang penglihatan serta pergerakan yang terbatas, saudara baharu itu tetap menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mempelajari dan memahami ajaran Islam.
Muhammad Roger berkata, pihaknya akan terus membantu dengan membawa lelaki tersebut mendapatkan sokongan daripada Baitulmal serta mendaftarkannya ke kelas agama dalam masa terdekat.
Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen memastikan saudara baharu tidak dibiarkan bersendirian selepas memeluk Islam. -MYBERITA

