KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan pendiriannya untuk terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN) dan akan menggunakan logo gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung.
Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang berlangsung hampir tiga jam di ibu pejabat parti itu pada malam Selasa.
Menurut beliau, BERSATU sebagai antara parti pengasas PN akan terus mempertahankan kedudukannya dalam gabungan berkenaan kerana percaya jenama PN telah diterima baik oleh rakyat sejak penubuhannya.
“Kita akan terus kekal dalam PN sebagai pengasas. Ada sebab yang munasabah sejak tertubuhnya gabungan ini dan pelbagai usaha yang dilakukan beberapa tahun lalu diterima secara baik oleh masyarakat Malaysia.
“PN sudah mempunyai satu jenama yang baik dan kita yang memulakannya. Oleh itu, dalam apa juga keadaan, MPT BERSATU malam ini menegaskan bahawa kita akan terus kekal dalam PN,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN turut menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan BERSATU daripada gabungan itu secara unilateral.
Beliau berkata, sebarang tindakan berkaitan keanggotaan parti dalam PN perlu mematuhi peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan gabungan tersebut, termasuk keperluan mencapai keputusan secara konsensus.
“Tidak ada mana-mana pihak boleh menyingkirkan BERSATU dalam PN secara unilateral. Mengikut perlembagaan, terdapat fasal tertentu yang perlu dipatuhi dan keputusan mesti dibuat secara konsensus, bukan oleh satu pihak sahaja,” jelasnya.
Mengulas persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata pelancaran jentera pilihan raya BERSATU serta pengumuman calon akan diadakan pada 21 Jun ini di Muar, Johor.
Beliau memaklumkan bahawa BERSATU telah membuat persiapan awal termasuk melawat hampir semua kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi berdasarkan persetujuan yang dicapai sebelum ini dalam gabungan berkenaan.
“Kita akan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo PN. Kita telah membincangkan persiapan secara menyeluruh dan gerak kerja telah dimulakan sejak lama di bawah pimpinan Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali bersama barisan naib presiden parti.
“Kita telah melawat hampir semua kawasan yang dikenal pasti untuk ditandingi. Mengenai parti-parti komponen lain dalam PN, itu adalah keputusan mereka, tetapi BERSATU sudah membuat keputusan berhubung beberapa kerusi di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat MPT BERSATU yang turut dihadiri beberapa pemimpin kanan parti termasuk Naib Presiden BERSATU, Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu.


