Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
HiburanPelakon Cik Man meninggal dunia

Pelakon Cik Man meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Dunia seni tanah air diselubungi kesedihan apabila pelakon veteran, Kamarool Yusof atau lebih dikenali sebagai Cik Man, meninggal dunia pada usia 68 tahun di Hospital Tanah Merah, Kelantan, kira-kira jam 5.15 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya, Ahmad Fakhrol Aliff Kamarozaman, 23, yang memaklumkan perkara itu kepada pelawak, Amir Raja Lawak.

Ketika dihubungi, Amir mengesahkan beliau menerima panggilan daripada Aliff mengenai berita duka tersebut.

“Memang ia berita sahih dan saya sedang dalam perjalanan ke sana (hospital) sekarang,” katanya ringkas.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah selepas dipercayai mengalami masalah saluran jantung tersumbat.

Keadaan kesihatannya sebelum ini turut mendapat perhatian rakan-rakan artis dan peminat yang mendoakan kesembuhannya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung halamannya di Tanah Merah, Kelantan kira-kira jam 11 pagi esok.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air yang telah menyaksikan beliau mewarnai dunia lakonan menerusi pelbagai karya sepanjang kerjayanya.

Orang ramai serta rakan-rakan artis turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-