PUCHONG – Dakwaan seorang penunggang motosikal bahawa dirinya dilanggar seorang warga emas bertukar menjadi kecoh apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dilihat memaparkan situasi berbeza, selain tindakannya berdepan lelaki berusia itu turut dikecam warganet.
- Kejadian dipercayai berlaku di sebuah simpang di Puchong sebelum penunggnag motosikal terbabit memuat naik video pertelingkahan mereka di Threads dengan mendakwa pemandu sebuah kenderaan…
- Bagaimanapun, rakaman CCTV yang muncul kemudian menunjukkan SUV terbabit bergerak perlahan ketika keluar dari simpang sebelum berhenti, manakala motosikal berkenaan dilihat melepasi kenderaan itu.
- Rakaman berkenaan tidak menunjukkan dengan jelas berlaku pelanggaran ketika motosikal tersebut melintas.
- Penunggang motosikal itu kemudian didakwa berpatah balik sebelum berlaku pertelingkahan dengan pemandu berkenaan, sekali gus mengundang kritikan ramai yang menyifatkan cara dia berkomunikasi dengan…
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah simpang di Puchong sebelum penunggnag motosikal terbabit memuat naik video pertelingkahan mereka di Threads dengan mendakwa pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih melakukan kesalahan terhadapnya.
Bagaimanapun, rakaman CCTV yang muncul kemudian menunjukkan SUV terbabit bergerak perlahan ketika keluar dari simpang sebelum berhenti, manakala motosikal berkenaan dilihat melepasi kenderaan itu. Rakaman berkenaan tidak menunjukkan dengan jelas berlaku pelanggaran ketika motosikal tersebut melintas.
Penunggang motosikal itu kemudian didakwa berpatah balik sebelum berlaku pertelingkahan dengan pemandu berkenaan, sekali gus mengundang kritikan ramai yang menyifatkan cara dia berkomunikasi dengan lelaki lebih berusia itu sebagai keterlaluan dan tidak beradab.
Anak kepada pemandu terbabit kemudian tampil mempertahankan bapanya menerusi Threads dengan mengakui mungkin berlaku kesilapan ketika keluar dari simpang, termasuk kemungkinan faktor titik buta.
“Mana salah silap, terlajak jalan atau blind spot. Saya wakil ayah saya minta maaf sangat-sangat. Ayah saya pun dah angkat tangan untuk sorry tapi orang tetap maki ayah saya,” katanya.
Menurut wanita itu, bapanya terkesan dengan kecaman dan penyebaran video berkenaan sehingga tidak dapat tidur malam, selain terpaksa ke balai polis bagi menyelesaikan perkara tersebut.
Dia turut mendakwa mempunyai bukti bahawa bapanya tidak melanggar, mengugut untuk mencederakan atau menghimpit penunggang motosikal berkenaan seperti didakwa.
“Banyak yang awak dah fitnah bapak saya dan memalukan nama beliau. Saya ada bukti ayah saya tak langgar awak,” katanya sambil memaklumkan laporan polis telah dibuat dan tindakan undang-undang boleh menyusul.
Dalam perkembangan terbaharu, wanita itu memaklumkan penunggang motosikal berkenaan sudah bersetuju untuk bertemu ahli keluarganya bagi berbincang dan menyelesaikan pertikaian tersebut.
Katanya, keluarganya tidak berniat menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu nama dan maruah bapanya dibersihkan.
Video asal yang dimuat naik penunggang motosikal berkenaan dipercayai sudah dipadam selepas menjadi tular, namun rakaman CCTV dan tangkap layar berkaitan kejadian terus tersebar di media sosial.
Setakat ini, dakwaan kedua-dua pihak belum dapat disahkan secara bebas dan tiada keputusan pihak berkuasa yang menentukan pihak bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan. – Threads
