Rabu | 23/09/2026 | 2:19:40 pm
HomeTerkiniTular lelaki didakwa kencing dalam tren, netizen kata mungkin baru lepas berlari

Tular lelaki didakwa kencing dalam tren, netizen kata mungkin baru lepas berlari

KUALA LUMPUR – Rakaman seorang lelaki dengan lantai tren yang kelihatan basah di sekelilingnya mencetuskan perdebatan di media sosial selepas dia didakwa membuang air kecil, namun ramai tampil mempertahankannya dengan mendakwa cecair itu mungkin peluh selepas bersukan.

Insiden berkenaan menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi rakaman dan gambar menunjukkan lelaki terbabit berdiri berhampiran pintu sebuah tren yang dikatakan sedang menuju ke arah Kelana Jaya.

Dalam hantaran itu, pengguna berkenaan mendakwa lelaki tersebut membuang air kecil di dalam tren berdasarkan keadaan lantai yang kelihatan basah di sekitar kakinya.

Namun, dakwaan berkenaan segera dipersoalkan pengguna lain yang melihat lelaki itu mengenakan pakaian dan kasut sukan, selain keadaan seluarnya yang kelihatan basah dipercayai akibat peluh.

“Rasanya itu peluh sebab seluar di bahagian belakang pahanya melekap dan lencun,” kata pengguna @blondeyreveal2.0.

Pandangan sama dikongsikan @thyrawhos yang berpendapat keadaan tersebut mungkin berlaku selepas lelaki berkenaan selesai melakukan aktiviti larian.

“Itu peluh selepas berlari. Kalau saya pun, selepas berlari memang akan berpeluh begitu sehingga lencun,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @agatha.gan turut mempersoalkan dakwaan awal berkenaan dan meminta orang ramai tidak terlalu cepat membuat kesimpulan.

“Air kencing ke ini? Mungkin peluh, nampak seperti baru selesai maraton. Kalau betul begitu, keringkanlah badan terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, @aweiliwei menyifatkan keadaan seperti itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam kalangan individu yang aktif bersukan.

“Mereka yang tidak pernah berlari atau bersenam mungkin tidak tahu, ini peluh berlebihan dan bukannya air kencing. Perkara ini biasa berlaku dalam kalangan pelari dan atlet. Kasihan, peluh pula difitnah sebagai air kencing,” tulisnya.

Dalam pada itu, Rapid KL menerusi akaun rasminya dilaporkan memberi respons terhadap hantaran asal dengan meminta maklumat lanjut mengenai tren terbabit.

“Hai Hana. Boleh dapatkan nombor tren untuk tindakan segera?” katanya.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi bahawa cecair di lantai tren tersebut adalah air kencing atau peluh seperti yang diperdebatkan pengguna media sosial.

Insiden itu turut mencetuskan perbincangan mengenai risiko membuat tuduhan berdasarkan rakaman atau gambar tanpa mengetahui keadaan sebenar. – Threads

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 23 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|