Rabu | 23/09/2026 | 3:34:21 pm
HomeNasionalAnwar berdepan undi tidak percaya? Speaker tampil beri jawapan

Anwar berdepan undi tidak percaya? Speaker tampil beri jawapan

BANGI – Spekulasi mengenai kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat akan datang tidak sampai ke pengetahuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Malah, Johari menegaskan beliau langsung tidak menerima sebarang maklumat atau dokumen berkaitan usul berkenaan menjelang persidangan yang bermula 5 Oktober ini.

“Pun tidak dengar langsung. Bukan belum lagi, tidak dengar langsung,” kata Johari selepas merasmikan Dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap Anwar dibawa dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15.

Isu itu timbul selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan supaya mengambil langkah rasmi menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Dalam perkembangan berasingan, Johari turut mengesahkan belum menerima sebarang usul berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Beliau juga belum menerima dokumen mengenai RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

“Saya dimaklumkan ura-ura itu ada, tapi saya belum terima lagi kertas. Lazimnya, dua minggu sebelum pembentangan, sebarang usul itu akan dimaklumkan kepada Speaker. Tetapi sekarang ini belum terima apa-apa lagi,” kata Johari.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap untuk dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung mulai 5 Oktober hingga 8 Disember.

– Utusan Malaysia

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 23 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|