Khamis | 24/09/2026 | 8:08:18 pm
HomeGaya HidupARMY 'serbu' Maybank, suasana bertukar macam mini konsert BTS

ARMY ‘serbu’ Maybank, suasana bertukar macam mini konsert BTS

SHAH ALAM – Suasana sebuah cawangan bank di sini bertukar seperti ‘mini konsert’ apabila sekumpulan peminat BTS atau ARMY Malaysia menyanyi dan bersorak bersama-sama ketika menunggu giliran mendapatkan kad debit edisi terhad kumpulan popular Korea Selatan itu.

Gelagat peminat berkenaan mencuri perhatian selepas rakaman suasana di hadapan sebuah cawangan Maybank dikongsikan pengguna Threads, Irfanothman, hari ini.

Lebih menghiburkan, seorang pekerja lelaki bank berkenaan turut dilihat melayan gelagat kumpulan peminat terbabit yang menyanyikan lagu BTS beramai-ramai.

“Ini bank ke konsert BTS?” tulis Irfanothman menerusi hantaran tersebut.

Fenomena memburu kad debit edisi terhad BTS World Tour ‘Arirang’ itu turut berlaku di beberapa cawangan Maybank terpilih apabila peminat sanggup hadir dan beratur sejak awal pagi.

Di Dataran Maybank Bangsar, pengguna media sosial @nurul_keciq berkongsi keadaan sekitar jam 6.30 pagi yang menyaksikan kira-kira 16 individu sudah berada dalam barisan.

“Update 6.30 pagi hari kedua: Dataran Maybank Bangsar 16 orang,” katanya.

Jumlah itu dilaporkan meningkat kepada lebih 30 orang sekitar jam 10 pagi.

Suasana menunggu turut dimeriahkan apabila terdapat pengurusan cawangan bank yang memainkan lagu-lagu BTS sebagai tanda sokongan kepada ARMY yang menunggu lama untuk mendapatkan kad berkenaan.

Keterujaan peminat sudah dapat dilihat sejak hari pertama apabila ada yang dilaporkan mula beratur seawal jam 3 pagi di beberapa cawangan terpilih.

Seorang peminat, Nina Enany, berkongsi bahawa dia tiba di cawangan Bukit Bintang sekitar jam 7 pagi sebelum berjaya mendapatkan kad berkenaan selepas operasi bank bermula pada jam 9.30 pagi.

Seorang lagi peminat dikenali sebagai Diahhbahri pula memaklumkan dia bersama enam individu lain sudah berada dalam barisan sejak jam 4.30 pagi, sekali gus menjadi antara kumpulan terawal menunggu.

Sambutan itu memperlihatkan keterujaan ARMY Malaysia terhadap keluaran khas berkenaan sehingga beberapa cawangan bank menjadi lokasi pertemuan tidak rasmi peminat BTS sejak awal pagi. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|