Ahad, 20 Julai 2025
UTAMAHIBURANEjen Ali 2 pecah rekod kutip RM55.1 juta, atasi filem hollywood, asia

Ejen Ali 2 pecah rekod kutip RM55.1 juta, atasi filem hollywood, asia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia selepas berjaya meraih kutipan sebanyak RM55.1 juta sejak mula ia ditayangkan.

Kejayaan luar biasa ini bukan sahaja mengatasi semua filem animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan sebelum ini, malah EATM2 kini turut menewaskan filem-filem blockbuster dari Hollywood dan Asia yang bersaing sepanjang dua bulan kebelakangan ini.

Lebih membanggakan, kejayaan ini turut membuktikan bahawa penonton Malaysia mempunyai keyakinan tinggi terhadap karya animasi tempatan yang sarat dengan nilai, identiti, dan semangat Malaysia.

Pengarah filem Ejen Ali The Movie 2, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian kolektif dan hasil usaha gigih seluruh pasukan produksi serta sokongan padu para peminat.

“Kejayaan ini bukan milik WAU Animation semata-mata tetapi milik semua ejen-ejen yang percaya dan berdiri bersama kami sejak awal. Saya amat menghargai dedikasi seluruh pasukan WAU Animation yang telah mencurahkan tenaga dan kreativiti tanpa henti dalam menjayakan filem ini. Terima kasih juga kepada rakan produksi kami, Primeworks Studios, yang memberikan sepenuh komitmen dalam mempromosikan filem ini,” katanya.

Daripada animasi bersiri di kaca televisyen kepada francais filem yang berpengaruh, Ejen Ali telah melalui transformasi besar yang membuktikan kebolehan penggiat industri kreatif tempatan dalam menghasilkan karya bermutu tinggi yang mampu menambat hati pelbagai lapisan masyarakat.

Ejen Ali The Movie 2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA