Tragedi UPSI: JPJ gantung lesen PSV pemandu bas, siasat syarikat pengendali

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas dengan menggantung serta-merta lesen memandu vokasional (PSV) milik pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan lesen itu dibuat mengikut Seksyen 56(4), Akta Pengangkutan Jalan 1987, susulan siasatan yang sedang dijalankan terhadap kes tersebut.

“JPJ turut membuka kertas siasatan terhadap pemilik syarikat pengendali bas, termasuk syarikat yang menerima pajakan permit operasi bas terbabit.

“Sebagai langkah proaktif demi keselamatan awam, penggantungan ini akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPJ juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan keselamatan jalan raya akan terus menjadi keutamaan.

Dalam kejadian 9 Jun lalu, sebuah bas membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke UPSI, Perak telah melanggar sebuah Perodua Alza di KM53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik. Nahas itu meragut 13 nyawa di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital, menjadikan jumlah korban seramai 15 orang.

Susulan itu, pemandu bas, Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, telah didakwa di Mahkamah Majistret Gerik atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) akta yang sama kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000, serta penggantungan lesen minimum lima tahun.

BACA JUGA:  [VIDEO] Kenyataan spontan Miki Ghazali bongkar mentaliti sokongan sukan negara
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com