Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMAHIBURANElite bersatu kembali, konsert 'Elite Live’25' gegar KLCC September ini

Elite bersatu kembali, konsert ‘Elite Live’25’ gegar KLCC September ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas kemunculan penuh fenomena di Konsert GenKRU, kumpulan wanita popular era 90-an, Elite, bakal mengubat rindu peminat menerusi konsert sulung berskala besar mereka, Elite Live’25 yang dijadual berlangsung pada 20 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Konsert istimewa ini menyatukan kembali lima anggota asal Elite iaitu Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar dalam sebuah persembahan penuh nostalgia yang dijangka mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air.

Menurut Azza, idea konsert ini tercetus selepas melihat sambutan luar biasa peminat terhadap kemunculan mereka sebagai penyanyi jemputan dalam Konsert GenKRU, Mei lalu.

“Impak daripada kemunculan itu sangat kuat. Kami berlima mendapat inspirasi untuk adakan konsert sendiri. Ia bukan soal persaingan, tetapi sebagai penghargaan kepada peminat yang selama ini menyokong kami,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, kumpulan itu turut menerima pelbagai tawaran daripada penganjur lain namun memilih untuk bekerjasama dengan Iman Tang dan Icon Entertainment kerana keyakinan terhadap reputasi mereka.

Sementara itu, Abby Abadi meluahkan keterujaannya untuk kembali menghiburkan peminat dan membawa mereka mengimbau kenangan manis era 90-an.

“Bila ditawarkan untuk konsert nostalgia seperti ini, kami sangat seronok. Saya sendiri tidak sabar untuk beraksi di pentas dan memberikan yang terbaik kepada peminat,” katanya.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, pula menyifatkan konsert ini sebagai hasil daripada perancangan teliti dan bukan sekadar mengambil kesempatan atas trend konsert semasa.

“Elite Live’25 dirancang secara profesional kerana kami percaya kumpulan Elite masih relevan untuk sebuah konsert berskala besar. Lagu-lagu mereka dari zaman 90-an masih segar dalam ingatan ramai,” jelas Iman.

Tiket konsert Elite Live’25 akan mula dijual pada Khamis depan jam 2 petang menerusi laman web www.ticket2u.com.my/elite. Harga tiket bermula RM268 (Kategori Tamparan Wanita & Catwalk), RM588 (Kategori Manisnya Senyumanmu) dan RM1,088 (Kategori GIG).

Konsert ini dijangka menjadi antara acara paling dinanti-nantikan tahun ini oleh peminat muzik tempatan, khususnya peminat tegar Elite sejak awal kemunculan mereka.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN