KUALA LUMPUR – Filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), mencipta sejarah baharu apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM40.6 juta, menjadikannya filem animasi paling laris dalam sejarah Malaysia.
Kejayaan luar biasa ini menewaskan rekod kutipan filem animasi tempatan sebelum ini, termasuk Mechamato Movie (RM35.8 juta) dan filem pertama Ejen Ali: The Movie (RM30 juta). Lebih membanggakan, EATM2 turut mengatasi beberapa judul antarabangsa seperti Thunderbolts, Mission: Impossible dan Lilo & Stitch yang ditayangkan sepanjang Mei lalu di pawagam tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengarah Wau Animation, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti rakyat Malaysia menyokong karya animasi tempatan yang berkualiti.
“Ini bukan sahaja kemenangan buat kami, tetapi buat seluruh industri animasi tempatan. Terima kasih Malaysia kerana percaya pada cerita kita sendiri,” katanya dalam kenyataan media.
Gabungan naratif mendalam, visual animasi berkualiti tinggi dan elemen aksi yang mendebarkan menjadi antara faktor kejayaan besar EATM2. Setakat ini, lebih dua juta penonton telah memenuhi pawagam untuk menonton sekuel hebat ini.
Ejen Ali The Movie 2 mengisahkan perjalanan Ali, seorang ejen remaja yang dipilih menyertai SATRIA — program elit yang menggunakan sut canggih berteknologi AI. Namun, muncul pula Neonimus, penggodam misteri dengan dendam tersembunyi terhadap Ali, sekali gus menggugat masa depan kota Cyberaya.
Diterbitkan oleh Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios, filem ini berjaya membuktikan potensi animasi tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus menyuntik semangat baharu kepada penggiat industri kreatif tanah air.