Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHMahkamah ringankan hukuman PU Azman kepada 12 tahun

Mahkamah ringankan hukuman PU Azman kepada 12 tahun

- Advertisement -

KLANG – Pendakwah selebriti, PU Azman mendapat sedikit kelegaan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan rayuannya untuk menjalani hukuman penjara secara serentak atas dua kesalahan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Keputusan itu menyaksikan Azman Syah Alias, 44, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berbanding 24 tahun yang sebelum ini dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 September 2023.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua sebatan terhadap tertuduh seperti yang diputuskan sebelum ini.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa hukuman tersebut dijalankan serentak bermula dari tarikh hukuman asal.

Peguam Azman, Fahmi Adilah, berhujah bahawa kesemua pertuduhan dibuat di bawah satu nombor kes, melibatkan mangsa serta saksi yang sama, walaupun kejadian berlaku pada dua tarikh berbeza.

“Tiada sebarang kelewatan dalam perbicaraan dan ia berjalan lancar, justeru kami memohon agar hukuman dilaksanakan secara serentak,” katanya di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Najiha Tengku Zahari pula memohon agar rayuan ditolak kerana kedua-dua kejadian berlaku secara berasingan dan perlu dinilai sebagai kes berasingan.

“Kes-kes sebegini menjadi perhatian masyarakat, dan hukuman wajar mencerminkan keseriusan kesalahan,” katanya.

Azman Syah akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula 27 September 2024.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN