IPOH – Bas yang terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), dekat sini awal pagi tadi bukanlah bas milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sebaliknya merupakan bas persiaran sewaan yang diuruskan sendiri oleh para pelajar.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md. Taff berkata, inisiatif menyewa bas tersebut dilakukan oleh pelajar untuk pulang ke kampung masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
“Bas itu bukan bas UPSI. Ia adalah bas persiaran sewaan pelajar sendiri, inisiatif mereka untuk pulang ke kampung,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa jumlah pelajar yang disahkan menaiki bas tersebut adalah seramai 42 orang, dan bukannya 44 seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Setakat ini, senarai nama mangsa yang terkorban dalam kejadian ini masih belum dapat disahkan sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak universiti telah menghubungi semua ahli keluarga pelajar yang terlibat bagi memaklumkan perkembangan terkini dan urusan selanjutnya.
Terdahulu, MYBERITA melaporkan 15 individu maut dalam kemalangan ngeri yang membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di laluan JRTB, awal pagi tadi.
Difahamkan, bas berkenaan sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim ketika kejadian berlaku.
Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banun menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden tersebut pada jam 1.10 pagi.
“Anggota APM yang tiba di lokasi pada 2.11 pagi mendapati kemalangan melibatkan sebuah MPV Perodua Alza dan sebuah bas yang telah terbalik.
“Beberapa mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Gerik, termasuk mereka yang mengalami kecederaan seperti patah tangan, patah kaki serta cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Identiti mangsa yang maut dijangka akan diumumkan selepas proses pengecaman dan pengesahan identiti selesai dijalankan oleh pihak berkuasa.