Pengarah Program, Lee Yong Yong berkata lawatan ini menyokong objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus DUE10062: Technical English 1, serta menjadi platform praktikal untuk pelajar mempertingkat kemahiran komunikasi dalam bahasa Inggeris, khususnya dalam konteks profesional sebenar.
“Selain memberi pendedahan kepada pelajar tentang amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, program ini turut memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai-pegawai antarabangsa,” katanya.
Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Baker Hughes, Shamsul Azam. Menariknya, sesi berkenaan turut disertai secara dalam talian oleh 43 pelajar lain yang mengikuti lawatan dari jauh.
Para peserta kemudianya dibawa melawat kemudahan teknikal Baker Hughes oleh Pengurus Fasiliti, Thilagah Nadarajah. Turut hadir menyambut delegasi PSA ialah Eksekutif Operasi Kewangan Global, Scott Paxton dan Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Serantau, Ahmad Hafeez Ramli, yang turut berkongsi pengalaman serta pandangan mereka bersama pelajar
Bagi pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik Perubatan, Adeeba Afreena, 18, pengalaman menyaksikan sendiri pengoperasian sebuah syarikat antarabangsa memberikan inspirasi dan keyakinan terhadap masa depan kerjaya.
“Saya dapat melihat sendiri bagaimana pengurusan sumber manusia dan fasiliti dilaksanakan secara profesional, dan peluang berinteraksi dengan pegawai syarikat memberi pengalaman berharga,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Syed Muhammad Haziq dari program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, turut menyatakan kepuasan kerana dapat memahami secara mendalam standard dan protokol keselamatan dalam sektor minyak dan gas yang menjadi minatnya.
Sementara itu, Pengurus Projek Baker Hughes Malaysia, Declan Shuit menyifatkan program sebegini penting dalam membina jalinan strategik antara institusi pendidikan dan industri.
“Ia bukan sahaja memberi ruang kepada kami berkongsi kepakaran dan pengalaman, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama dengan institusi seperti PSA,” katanya.
Baker Hughes Malaysia merupakan anak syarikat kepada Baker Hughes Company yang beribu pejabat di Houston, Amerika Syarikat. Di Malaysia, syarikat ini memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas melalui penyelesaian kejuruteraan dan keselamatan bertaraf dunia. – MYBERITA








