Khamis, 16 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
SemasaZii Jia cetus kebimbangan peminat, muat naik gambar suram undang spekulasi

Zii Jia cetus kebimbangan peminat, muat naik gambar suram undang spekulasi

KUALA LUMPUR – Jaguh perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat sukan tanah air selepas memuat naik satu hantaran di media sosial yang seolah-olah mencerminkan dirinya sedang bergelut dengan tekanan atau emosi tertentu.

Menerusi beberapa gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya malam tadi, Zii Jia dilihat berkongsi beberapa lukisan berkonsep ekspresi wajah suram dan mendung, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung keadaan emosinya ketika ini.

Tinjauan MYBERITA di ruangan komen mendapati rata-rata peminat dan rakan atlet tampil memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada pemain berusia 26 tahun itu agar terus tabah menghadapi apa jua cabaran yang sedang dilalui.

Antara yang turut memberi reaksi ialah pemain badminton wanita negara dan rakan baik Zii Jia, Goh Jin Wei yang menitipkan pesanan ringkas namun penuh makna.

“Biarkan waktu mengubati semuanya.”

Sokongan turut hadir daripada para peminat yang memahami liku perjalanan seorang atlet profesional.

“Saya faham kesukaran yang kamu hadapi sekarang, tapi saya percaya pada awak. Langkah demi langkah, awak akan bersinar semula,” komen seorang pengguna bernama Khai Yuen Chao.

“Saya harap Tuhan akan permudah segala urusan kamu. Mungkin ada masalah yang tidak dapat diungkapkan, minda yang penuh tanda tanya. Kami sebagai peminat akan sentiasa berada di belakang kamu dan menyokong,” tulis seorang lagi peminat.

Sebelum ini, Zii Jia yang juga juara Kejohanan Seluruh England 2021 mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika menentang pemain Jepun, Koki Watanabe dalam Kejohanan Terbuka Arctic pada Disember tahun lalu.

Insiden itu memaksa beliau menarik diri daripada menyertai beberapa kejohanan utama tahun ini bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap proses pemulihan.

Akibatnya, kedudukan Zii Jia dalam ranking dunia turut merosot apabila beliau kini menghuni ranking ke-27, terkeluar daripada senarai 20 pemain terbaik dunia.

Kali terakhir beliau beraksi adalah pada Kejohanan Seluruh England Mac lalu dan dijangka membuat kemunculan semula dalam Kejohanan Terbuka Jepun yang bakal bermula 15 Julai ini.

Peminat dan seluruh komuniti badminton tempatan kini mendoakan agar Zii Jia kembali bangkit, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga dari segi mental dan emosi untuk terus membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-