TAMPIN — Seramai 100 orang pelajar sekolah rendah dan menengah mewakili 51 buah sekolah di daerah ini telah menyertai Kursus Asas Kewartawanan dan Etika Media anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan Darul Al-Falah, di sini, pada Sabtu.
Program sehari itu turut disertai oleh guru pengiring serta pegawai pendidikan daerah, dengan objektif memperkukuh pengetahuan asas dalam bidang kewartawanan dan membudayakan amalan etika media yang betul dalam kalangan pelajar.
Inisiatif ini khusus ditujukan kepada pelajar yang terlibat secara langsung dalam penghasilan kandungan digital bagi platform TV Pendidikan Sekolah-Sekolah (TVPSS).
Menurut wakil penganjur, Puan R. S. Sathyavani A/P Rangaraju, pendedahan awal terhadap bidang kewartawanan amat penting dalam membentuk pelajar yang celik maklumat, peka terhadap isu semasa dan berupaya menangani penularan berita palsu yang semakin berleluasa di era digital masa kini.
“Kursus ini menekankan prinsip asas penulisan berita, teknik penulisan yang betul, tanggungjawab sosial sebagai wartawan muda serta peranan mereka dalam menyalurkan maklumat yang sahih kepada komuniti sekolah. Paling penting, pelajar dididik untuk mengutamakan etika ketika mengumpul, mengolah dan menyebarkan sesuatu berita,” ujarnya.
Antara pengisian utama kursus ialah sesi ceramah, bengkel interaktif, latihan simulasi penyampaian berita dan perkongsian pengalaman daripada pengamal industri. Program turut menampilkan pensyarah jemputan daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.
Pelajar-pelajar yang menyertai dilihat amat teruja apabila diberi peluang memainkan peranan sebagai wartawan dan pembaca berita dalam aktiviti simulasi secara berkumpulan. Rata-rata peserta menyifatkan program ini sebagai sangat bermanfaat dan berharap agar ia diteruskan dari semasa ke semasa sebagai persediaan menghadapi dunia media yang dinamik.
Sementara itu, pihak PPD Tampin menyatakan komitmen untuk memperluaskan lagi pelaksanaan program seumpama ini ke sekolah-sekolah lain, dengan penekanan kepada aspek literasi media, etika digital serta penghasilan kandungan yang berkualiti dan berimpak tinggi.
Kursus ini diharap mampu menjadi landasan awal mencungkil bakat kewartawanan di peringkat sekolah, membina keyakinan diri serta memupuk sikap kritis dalam menilai maklumat ke arah melahirkan generasi wartawan muda yang berintegriti dan berwibawa.

