Ibu Zayn Rayyan dakwa polis paksa mengaku bunuh anak sendiri

KUALA LUMPUR – Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf mendakwa dia dipaksa mengaku membunuh anaknya sendiri ketika berada dalam tahanan reman selama 13 hari pada Jun tahun lalu.

Ismanira, 30, yang merupakan saksi pembelaan pertama dalam kes pengabaian kanak-kanak autisme itu, membuat pendedahan berkenaan ketika menjawab pemeriksaan utama oleh peguamnya, Haresh Mahadevan di Mahkamah Sesyen hari ini.

Menurut Ismanira, sepanjang siasatan dijalankan di sebuah banglo yang dikenali sebagai ‘safe house’ di Petaling Jaya, dia memberikan kerjasama sepenuhnya, namun tetap didakwa tidak memberikan keterangan memuaskan kepada pihak polis.

“Mereka menuduh saya dan mereka cerita perkara yang saya tidak lakukan. Mereka kata saya jumpa anak saya dan saya sendiri yang membunuhnya. Bila saya menafikan, mereka tetap tak puas hati,” katanya di mahkamah.

Beliau turut mendakwa wujud dua kumpulan dalam kalangan anggota polis terbabit dalam siasatan kes, satu pihak bersimpati dengannya, manakala satu lagi terus menekannya.

“Ada yang minta saya sabar dan bertahan sampai habis reman kerana mereka tahu saya tidak bersalah. Tetapi ada yang tetap menekan saya dengan tuduhan yang saya tak lakukan,” katanya lagi.

Dalam keterangannya, Ismanira juga menafikan pernah mengabaikan anak sulungnya itu.

“Saya tidak mengabaikan Zayn seumur hidup saya. Pada hari kejadian, saya benar-benar kehilangan anak saya, bukannya saya mengabaikan. Saya tidak berada di Blok R sepanjang masa, dan tidak pernah pergi ke kawasan sungai seperti disebut dalam pertuduhan,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada dia pernah membiarkan Zayn bersendirian, Ismanira menjawab hanya berpisah dengan anaknya semasa waktu bekerja dan ketika Zayn berada di sekolah.

“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn. Saya tidak pernah membiarkan dia bersendirian,” katanya.

Semalam, Mahkamah Sesyen memerintahkan Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal. Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

BACA JUGA:  Penuntut IPTS didakwa tikam leher bekas kekasih, mengaku tak salah

Bagaimanapun, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023 di kawasan sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai dan berhampiran sungai berdekatan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum ditemui meninggal dunia di sebuah anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokan harinya.

Ezza Azira
Ezza Azira
ezza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...