“Kandungan video tersebut memaparkan seolah-olah Yang di-Pertuan Agong memberikan ucapan menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia, dan menggesa individu yang mengalami masalah kewangan supaya menghubungi seseorang bernama Datuk Zulkarnain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kandungan video itu adalah palsu dan dipercayai telah dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Jelasnya, satu laporan polis telah dibuat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menyamar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan kandungan video berkenaan dan tidak menghubungi individu yang dinyatakan dalam video kerana ia adalah cubaan penipuan,” tegasnya.
Tambah beliau, PDRM komited untuk membanteras jenayah siber dan akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan teknologi untuk menipu orang awam. – MYBERITA








