KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan, Asyraf Khalid, memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi dan aktivis Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, susulan dakwaan ‘serangan’ berunsur fitnah yang dilakukan terhadapnya di media sosial baru-baru ini.
Menurut Asyraf, 33, tuduhan yang dilemparkan berhubung keputusannya menjemput seorang individu kontroversi sebagai tetamu dalam rancangan podcast Apa Cerita? telah memberi kesan besar terhadap kesihatan mental dan emosi, selain mencalar reputasinya sebagai ahli perniagaan.
“Seorang pempengaruh dikenali sebagai Caprice telah menerbitkan beberapa hantaran menyerang saya secara terbuka kerana menjemput tetamu berkenaan yang menurutnya terlibat dengan pelbagai tuduhan kekerasan.
“Hantaran-hantaran tersebut telah mencetuskan gelombang serangan berbentuk fitnah, penghinaan keterlaluan dan tohmahan yang menggugat maruah saya,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Asyraf turut memaklumkan bahawa beliau telah cuba menghubungi Caprice secara peribadi melalui mesej Instagram bagi menjernihkan keadaan dan menjelaskan keputusan menyiarkan ‘teaser’ podcast terbabit.
“Saya telah cuba berhubung secara baik dan sebagai jalan tengah, saya ambil keputusan untuk tidak menyiarkan episod tersebut bagi menjaga sensitiviti semua pihak.
“Tetapi malangnya, Caprice terus menyerang saya secara terbuka dan berulang kali, sehingga menyebabkan ramai netizen turut melontarkan tuduhan melampau seperti pedofilia dan perogol,” katanya.
Asyraf mengakui berasa terkilan apabila turut menerima kecaman terhadap keluarganya, termasuk dakwaan bahawa kejayaannya hari ini hanya berpunca daripada statusnya sebagai anak tiri kepada tokoh perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K).
“Saya akui saya ada kekurangan, tetapi apa yang berlaku ini keterlaluan dan menjatuhkan maruah saya secara terbuka.
“Lebih menyedihkan, saya terpaksa jelaskan perkara ini kepada pelbagai pihak termasuk rakan niaga,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Asyraf, Abdul Hakiem Aiman, memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pudu, dan tindakan saman malu serta saman fitnah akan difailkan dalam masa terdekat.
“Selepas meneliti semua fakta dan bukti yang bersifat fitnah terhadap Asyraf, kami percaya tindakan undang-undang adalah langkah yang wajar bagi mempertahankan hak dan nama baik beliau.
“Segala kenyataan Caprice dilakukan tanpa mendapatkan sebarang pengesahan atau penjelasan daripada pihak Asyraf,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pihaknya turut menegaskan bahawa perbincangan atau sebarang penyelesaian lebih wajar dilakukan melalui saluran rasmi seperti mediasi atau mahkamah.
“Kami ingin menjelaskan bahawa dalam video teaser tersebut, tiada sebarang kenyataan berbaur sensitif disebut oleh Asyraf dan tetamu datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Sebelum ini, Caprice menyelar tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki yang pernah didakwa mencederakan beberapa individu, termasuk mengugut dirinya dan keluarga, ke dalam podcast berkenaan.
Caprice turut memuat naik tangkap layar mesej perbualan dengan Asyraf serta beberapa foto kecederaan yang didakwa dialami mangsa, yang kemudian mencetuskan gelombang kecaman terhadap podcast Apa Cerita?
Susulan itu, wajah tetamu berkenaan dikaburkan dalam klip video yang dimuat naik Asyraf, namun netizen tetap mempersoalkan motif menampilkan individu kontroversi tersebut dalam rancangan audio siar terbabit.
