KUALA LUMPUR – Seorang bapa menyesal kerana membenarkan anak sulungnya menerima tawaran kerja di luar negara selepas pemuda berusia 25 tahun itu kini dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja.
Bapa mangsa, Ravi, 59, berkata keluarganya tidak mengetahui bahawa kegiatan pemerdagangan manusia masih berleluasa di Kemboja dan beberapa negara jiran.
“Kalau saya tahu, saya tidak akan benarkan anak saya pergi ke sana. Selepas mendapat tahu dia menjadi mangsa di Kemboja, isteri saya pengsan.
“Sudah tiga ke empat hari kami tidak dapat bercakap langsung dengannya. Kali terakhir buat panggilan video, dia kelihatan ketakutan,” katanya pada sidang media di sini, Isnin ini.
Menurutnya, anak lelakinya mendapat tawaran kerja bergaji lumayan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dan berlepas pada 8 Julai lalu menggunakan tiket penerbangan yang ditaja sepenuhnya oleh sindiket berkenaan.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, mangsa menghubungi keluarga meminta dibawa pulang selepas mendakwa didera dan dibuli.
“Malam itu dia telefon kata semuanya okay, duduk di asrama dan tempat kerja baik-baik saja. Tetapi beberapa hari kemudian, dia telefon lagi minta dibawa keluar.
“Dia kata selalu didera, dipukul, makan tidak menentu dan dipaksa bekerja sebagai scammer hingga jam 3 atau 4 pagi setiap hari,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya yakin dapat mengenal pasti lokasi mangsa berdasarkan maklumat yang diterima.
Namun, beliau tidak mendedahkan butiran mangsa kerana dikhuatiri menjejaskan operasi menyelamat kelak.
“Masalah pemerdagangan manusia di Kemboja ini sudah berlarutan, tetapi pasukan Task Force Kemboja sangat membantu. Kita salurkan maklumat dan mereka akan bantu mengeluarkan mangsa dari pusat scam berkenaan,” katanya.

