KUALA LUMPUR — Konsert Legasi P. Ramlee yang dijadualkan berlangsung pada 20 September depan di Mega Star Arena di sini, ditangguhkan ke tahun hadapan bagi memberi laluan kepada penganjuran berskala nasional yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.
Penganjur konsert, TanahAir Films Sdn. Bhd. menerusi Pengarah Eksekutifnya, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata penundaan itu dibuat demi memperluas ruang penyertaan masyarakat serta menjadikan acara tersebut sebagai platform membina jenama budaya nasional yang mampan.
“Kami tidak lagi melihat Konsert Legasi P. Ramlee sebagai sekadar persembahan satu malam, tetapi sebagai titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan.
“Dengan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka dan sokongan industri kreatif, langkah ini membolehkan kami memperluas pengaruh serta penglibatan rakan korporat,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Anwar berkata, pendekatan baharu berbentuk festival itu akan membuka peluang strategik untuk penyertaan jenama dan penaja melalui aktiviti kreatif, penglibatan sosial, serta penyebaran mesej nasional yang menyeluruh.
Sementara itu, Pengarah Kreatif Festival, Adlin Aman Ramlie, berkata penganjuran dalam bentuk festival memberi ruang untuk menghidupkan kembali roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi seni dan budaya.
“Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, beliau mewakili nilai, semangat zaman, suara bangsa dan keberanian menyentuh isu yang dekat di hati rakyat.
“Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” katanya yang juga peneraju Projek Perdana P. Ramlee.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak Ticket2U akan menghubungi pembeli tiket dalam tempoh tiga minggu akan datang bagi menguruskan penukaran tarikh, pilihan naik taraf atau bayaran balik.

