Imbas QR je lesap hampir RM10,000, janji ‘cashback’ & tiket VIP, akhirnya tanggung hutang ribuan ringgit

KUALA LUMPUR – Seorang lagi individu tampil mendedahkan pengalaman hampir sama selepas dipercayai terlibat dalam skim kempen berbayar yang sebelum ini tular melibatkan tawaran kolaborasi bersama jenama tempatan.

Mangsa kedua itu berkata jalan cerita yang dialaminya hampir serupa dengan mangsa pertama apabila turut ditawarkan penyertaan kempen promosi yang didakwa melibatkan konsert, tiket VIP, ‘cashback’ serta barangan eksklusif.

Menurutnya, dia bersetuju menyertai kempen berkenaan selepas melihat jenama tersebut pernah terlibat dalam beberapa kolaborasi dan acara sebelum ini, sekali gus menimbulkan kepercayaan.

“Saya join sebab nampak macam legit. Pernah ada event dan kolaborasi sebelum ini, jadi saya tak syak apa-apa,” katanya.

Mangsa mendakwa dia diminta mengimbas kod QR atas alasan ‘activation’ menggunakan kemudahan pembayaran ansuran platform e-dagang. Wang tersebut kemudiannya disalurkan kepada pihak ketiga yang didakwa bertindak sebagai ejen ‘cash out’.

Katanya, jumlah keseluruhan yang masih belum diselesaikan mencecah RM9,518.96, membabitkan transaksi asal sekitar RM8,000 tidak termasuk caj pemprosesan serta komitmen ansuran selama 24 bulan.

“Sebelum ini ada bayaran kecil-kecil yang diselesaikan, jadi saya masih beri peluang. Tapi untuk bayaran terakhir yang besar, sampai sekarang belum settle,” ujarnya.

Menurut mangsa, bayaran terakhir itu sepatutnya dijelaskan pada 10 Januari lalu, namun sehingga kini masih tertangguh dengan pelbagai alasan termasuk proses kewangan dan tempoh beberapa hari bekerja.

Beliau memaklumkan sudah memberi tempoh akhir sehingga jam 9 malam untuk separuh bayaran dibuat, manakala baki selebihnya perlu diselesaikan keesokan hari. Jika gagal, beliau bercadang membuat laporan polis.

Setakat ini, laporan rasmi masih belum dibuat namun beberapa mangsa lain difahamkan sudah mengambil tindakan sama.

Mangsa turut mendakwa kaedah yang digunakan seolah-olah ‘rolling’ wang, iaitu menggunakan dana daripada transaksi baharu untuk melunaskan bayaran lama.

BACA JUGA:  [VIDEO] Khairul Aming taja percutian ke New Zealand, hanya beli Rendang Nyet

“Saya rasa duit orang lain digunakan untuk bayar orang lain. Sebab itu bayaran kecil boleh lepas, tapi bila jumlah besar jadi sangkut,” katanya.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran kempen atau promosi yang memerlukan imbasan kod QR serta penggunaan had kredit peribadi, walaupun ditawarkan ganjaran lumayan atau dikaitkan dengan jenama yang pernah dikenali.

MYBERITA sebelum ini melaporkan seorang pelajar tampil mendedahkan dakwaan dirinya menjadi mangsa penipuan membabitkan sebuah jenama jersi tempatan terkenal yang didakwa menawarkan kempen berbayar melalui platform media sosial.

Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...