KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan serta kestabilan harga sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal akan dipastikan terkawal, selain menegaskan pendirian tidak berkompromi terhadap penghinaan agama serta penyebaran fitnah.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perutusan sempena Ramadan yang menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.
Menurutnya, peningkatan permintaan menjelang Syawal tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga sesuka hati atau membiarkan gangguan bekalan berlaku.
“Perdana Menteri menegaskan agar ketersediaan bekalan serta kestabilan harga barang wajib terjamin di seluruh negara tanpa sebarang alasan,” katanya pada taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperhebat pemantauan menerusi Ops Pantau 2026 bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan tidak mengambil kesempatan ketika rakyat membuat persiapan Ramadan dan Syawal.
Tambah beliau, pemantauan harga makanan di bazar Ramadan di seluruh negara juga perlu diselia dengan lebih rapi supaya kekal munasabah dan berpatutan, selain memastikan tahap kebersihan premis perniagaan dipatuhi dengan sokongan kemudahan yang baik oleh setiap pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa sama, Program Jualan Rahmah MADANI diteruskan sepanjang Ramadan bagi memberi akses kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Tunku Nashrul berkata, kerajaan komited memastikan Ramadan dan Syawal tahun ini menjadi perayaan yang penuh makna tanpa membebankan rakyat dengan tekanan kenaikan harga yang melampau. -MYBERITA

