Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
NasionalAzizulhasni sedia terus berjuang jika negara masih memerlukan khidmatnya

Azizulhasni sedia terus berjuang jika negara masih memerlukan khidmatnya

SEPANG – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, belum menutup pintu untuk terus menggalas cabaran Malaysia di pentas antarabangsa, namun menegaskan masa depannya kini bergantung kepada keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Pemenang pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu berkata, fokus utamanya ketika ini bukan memikirkan Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028, sebaliknya mahu memberikan sepenuh perhatian kepada misi memburu emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang bakal berlangsung kira-kira lapan minggu lagi.

Menurut Azizulhasni, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada badan sukan negara untuk menentukan sama ada khidmatnya masih diperlukan dalam perancangan menuju Olimpik LA 2028.

“Bagi saya sekarang, ia bukan soal sama ada saya mahu ke Los Angeles atau tidak, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmat saya. Jika memang diperlukan, saya akan berbincang dahulu dengan pasukan, keluarga serta penaja sebelum membuat perancangan seterusnya,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Azizulhasni berkata, beliau telah mengadakan perbincangan awal bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKBM, Jefri Ngadirin serta wakil KBS mengenai laluan kelayakan ke Olimpik yang disifatkan sebagai mencabar dan memerlukan perancangan rapi.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan segala keputusan teknikal kepada pihak berkaitan sebelum menentukan hala tuju kariernya.

Mengulas mengenai persiapan ke Sukan Asia, Azizulhasni mengakui cabaran kali ini lebih sukar memandangkan Jepun dan China memberi tumpuan sepenuhnya kepada temasya tersebut.

“Fokus saya sekarang ialah Sukan Asia kerana saya berharap dapat memberikan keputusan yang sama walaupun saya tahu ia bukan mudah memandangkan Jepun dan China hanya menumpukan sepenuh persiapan ke temasya itu.

“Kita pula baru selesai Sukan Komanwel, perlu melalui proses pemulihan, kembali berlatih dan melakukan tapering semula dalam tempoh yang singkat, tetapi saya akan mengambilnya selangkah demi selangkah dan berharap dapat mengulangi kejayaan sebelum mungkin menggantung basikal,” katanya.

Sementara itu, Azizulhasni turut mengakui masih belum membuat keputusan sama ada akan menyertai Kejohanan Dunia yang menjadi pembuka tirai kempen kelayakan Olimpik LA 2028.

Katanya, penyertaan ke kejohanan itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan KBS, MSN dan PKBM mengenai pelan jangka panjang skuad berbasikal negara.

“Belum putuskan. Saya masih tunggu keputusan daripada KBS, MSN dan juga PKBM mengenai perancangan Olimpik kerana kalau mereka masih perlukan khidmat saya, barulah saya boleh mula membuat perancangan dan berbincang dengan semua pihak.

“Kelayakan Olimpik bermula dengan Kejohanan Dunia diikuti Kejohanan Asia, siri Piala Dunia dan beberapa lagi kejohanan, jadi keputusan itu memang perlu dibuat segera. Jika tidak diperlukan, selepas Sukan Asia saya gembira untuk menggantung basikal ketika masih berada di kemuncak,” katanya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-