KUALA LUMPUR – Keluhan mahasiswa yang terpaksa mengikat perut dan berhutang demi meneruskan pengajian bakal mendapat perhatian kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada 9 Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan satu pengumuman berkaitan golongan berkenaan akan dibuat ketika pembentangan belanjawan, selepas mengambil kira tekanan kewangan yang dihadapi pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu mendengar sendiri kesukaran mahasiswa yang mahu meneruskan pengajian tetapi berdepan masalah untuk memenuhi keperluan asas.
“Ada anak-anak universiti kata kita nak belajar tapi kita lapar. Kita tumpukan, nanti saya umum masa belanjawan nanti. Tak boleh umum semua hari ini,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurut beliau, keadaan pelajar daripada keluarga miskin yang tidak berkemampuan sehingga terpaksa berhutang juga antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
Beliau pada masa sama menegaskan Malaysia mempunyai sumber dan kekayaan yang membolehkan keperluan rakyat ditangani sekiranya sumber negara diurus dengan baik.
Bagaimanapun, Anwar tidak memperincikan bentuk bantuan atau peruntukan yang bakal diumumkan, termasuk sama ada ia akan melibatkan bantuan makanan, kos pengajian atau sokongan kewangan secara langsung.
Belanjawan 2027 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa generasi muda mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju negara, khususnya ketika Malaysia berdepan perkembangan pesat teknologi dan bidang ilmu baharu.
“Siapa yang menentukan? Bukan generasi saya, generasi anak-anak,” katanya.
Beliau berkata, tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan ruang kepada generasi muda dengan meningkatkan mutu pendidikan selain memperkukuh penguasaan bahasa serta membuka peluang kepada mereka meneroka bidang baharu.
Anwar turut memaklumkan beliau meluangkan masa mendengar pandangan sarjana dan saintis mengenai perkembangan seperti kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran kuantum bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang teknologi masa hadapan.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim serta Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana, Fanitsyara Kam Phon. – BERNAMA
