Ahad | 04/10/2026 | 1:59:37 am
HomeAutomatifVerstappen 'Raja Sepang', rampas petak utama GP Bahrain di Malaysia

Verstappen ‘Raja Sepang’, rampas petak utama GP Bahrain di Malaysia

SEPANG – Max Verstappen kembali membuktikan penguasaannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila merampas petak utama Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, sekali gus berada pada kedudukan terbaik untuk memburu satu lagi kemenangan di litar keramat itu.

Pelumba Red Bull Racing itu mempamerkan rentak cemerlang pada sesi kelayakan hari ini dengan mencatat masa terpantas satu minit 35.130 saat, meninggalkan pencabar terdekat dari Ferrari, Lewis Hamilton dengan jurang 0.298 saat.

Pencapaian itu cukup signifikan buat Verstappen yang mempunyai kenangan manis di Sepang selepas muncul pemenang GP Malaysia edisi terakhir pada 2017.

Hamilton yang juga juara dunia tujuh kali terpaksa berpuas hati di petak kedua selepas merekodkan 1:35.428s, sekali gus menyaksikan dua juara dunia itu bakal berkongsi barisan hadapan apabila perlumbaan bermula esok.

Rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar pula memastikan Red Bull mempunyai dua jentera dalam kelompok tiga teratas apabila meraih petak ketiga menerusi catatan 1:35.558s.

Pendahulu semasa kejuaraan dunia, Kimi Antonelli dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team akan memulakan perlumbaan dari petak keempat selepas mencatat 1:35.631s.

Charles Leclerc membawa sebuah lagi jentera Ferrari ke petak kelima dengan 1:35.666s, manakala juara dunia bertahan, Lando Norris dari McLaren menduduki petak keenam menerusi catatan 1:35.757s.

Norris hanya 0.005s lebih pantas berbanding rakan sepasukannya, Oscar Piastri yang meraih petak ketujuh, sementara George Russell dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team berada di petak kelapan dengan masa 1:35.871s.

Pierre Gasly dari Alpine dan Gabriel Bortoleto dari Audi masing-masing melengkapkan kelompok 10 terbaik di petak kesembilan dan ke-10.

Keputusan kelayakan itu menjanjikan pertarungan menarik antara Verstappen dan Hamilton di barisan hadapan, selain Antonelli yang mempunyai misi mempertahankan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan dunia.

“Sepang merupakan satu litar yang sukar, terutamanya dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan tayar cepat haus,” kata Verstappen ketika mengulas cabaran litar itu selepas sesi latihan sebelum ini.

Perlumbaan GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 dijadual bermula pukul 3 petang esok.

Formula 1 pada Julai lalu mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan berkenaan dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Penganjuran di Sepang membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan yang sepatutnya berlangsung pada awal musim dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang selama 19 edisi dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan digugurkan daripada kalendar Formula Satu. – MYBERITA

Alif Aiman
Alif Aiman
Sebahagian daripada pasukan editorial MYBERITA yang memberi tumpuan kepada penyampaian berita pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Ahad, 4 Oktober 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|