BATU PAHAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan awal berhubung kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Yong Peng di sini, sementara siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian sedang dijalankan.
Permintaan itu dibuat susulan beberapa hantaran di media sosial yang mendakwa pelajar berusia 16 tahun berkenaan ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sekolah ketika menghadiri kelas bimbingan, petang Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, polis ketika ini masih mengumpulkan fakta dan maklumat berkaitan kejadian sebelum sebarang pengesahan boleh dibuat.
Menurutnya, adalah terlalu awal untuk pihak berkuasa mengesahkan dakwaan atau spekulasi yang sedang tersebar di media sosial kerana siasatan masih berlangsung.
“Kita masih dalam proses dapatkan maklumat tersebut. Macam pemberita juga kena dapatkan maklumat. Saya tak boleh bercakap betul ke tak betul sebab kami masih dapatkan maklumat.
“Saya tak mengesahkan apa benda sebab kami sedang dapatkan maklumat. Terlampau awal untuk mengesahkan suatu kes kalau tak dapat satu. Kami sedang dapatkan maklumat, kalau betul kami panggil esok.
“Bagi peluang kepada kami untuk jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Sabtu.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial mengenai penemuan seorang pelajar Tingkatan Empat yang terbaring di kawasan sekolah dengan kesan kecederaan fizikal sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Bagaimanapun, setakat ini polis belum mengesahkan butiran yang tular termasuk keadaan pelajar ketika ditemukan, punca kematian serta sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan pihak berkuasa selesai.
Klasifikasi kes dan perkembangan lanjut dijangka dimaklumkan polis selepas proses mendapatkan maklumat serta siasatan awal selesai. – MYBERITA
