SEPANG – Keterujaan menyaksikan aksi Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bertukar menjadi penantian panjang buat sebahagian pengunjung apabila mereka mendakwa terpaksa beratur berjam-jam untuk menaiki bas perantara keluar dari kawasan litar.
Situasi pada hari kedua penganjuran itu sekali lagi menjadi perhatian di media sosial apabila seorang pengguna Threads, Fteenzlkha, mendakwa dia terpaksa berdiri lebih empat jam menunggu perkhidmatan bas berkenaan.
Menurutnya, keadaan kali ini dilihat lebih mencabar berbanding hari sebelumnya apabila barisan pengunjung masih panjang selepas pukul 9 malam.
“Semalam pada pukul 9 malam keadaan sudah reda. Hari ini pada pukul 9.05 malam masih kelihatan seperti ini,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Hantaran itu kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, dengan beberapa pengunjung mengakui jumlah orang yang mahu meninggalkan litar pada waktu sama dipercayai menjadi antara faktor barisan panjang.
Bagaimanapun, terdapat juga pengunjung yang berpandangan pengurusan bas pada hari kedua lebih tersusun berbanding hari sebelumnya.
Seorang pengguna, Shrlnzm berkata, lokasi barisan bagi setiap perkhidmatan bas kini lebih jelas, sekali gus memudahkan pengunjung mengetahui tempat yang perlu dituju.
“Hari ni lebih teratur dan kita tahu dekat mana nak berbaris untuk naik bas mana. Cuma jumlah hari ni lebih ramai dari semalam,” katanya.
Pandangan sama dikongsi Ahmadalief yang menyifatkan sistem beratur kali ini lebih teratur.
“Tapi lebih teraturlah dari semalam, macam zombi kejar bas,” katanya secara berseloroh.
Sementara itu, pengguna dikenali sebagai Zozean berpendapat beberapa penambahbaikan telah dilakukan susulan kesesakan pada hari sebelumnya, termasuk pertambahan bas, aliran trafik lebih lancar serta penyediaan lokasi beratur yang lebih baik.
“Pada pendapat saya, mereka sudah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku semalam. Hari ini lebih banyak bas disediakan, trafik juga lebih lancar dan lokasi untuk beratur lebih baik.
“Cuma jumlah orang yang mahu keluar pada masa sama terlalu ramai. Bukan berlaku di Sepang sahaja, malah kalau dilihat di Jepun, Sepanyol dan Imola pun situasinya sama apabila semua orang beratur untuk meninggalkan litar,” katanya.
Situasi itu memperlihatkan cabaran menguruskan pergerakan keluar pengunjung dalam jumlah besar secara serentak, terutama selepas berakhirnya aktiviti perlumbaan di litar.
Setakat ini, dakwaan mengenai tempoh menunggu lebih empat jam itu adalah berdasarkan perkongsian pengguna media sosial dan belum dapat disahkan secara bebas. – MYBERITA
