KUALA LUMPUR – Dua peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 cedera selepas dirempuh sebuah motosikal yang dipercayai dipandu secara melawan arus ketika acara itu sedang berlangsung di Jalan Munshi Abdullah, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu berlaku selepas penunggang motosikal berkenaan dipercayai cuba melarikan diri daripada anggota polis sebelum merempuh peserta yang sedang berlari di laluan acara berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, sebelum kejadian, penunggang bersama pembonceng lelaki berusia 19 tahun dipercayai melepasi laluan yang sudah ditutup menggunakan kon.
@myberitaonline Seorang peserta dilaporkan cedera selepas didakwa dilanggar penunggang motosikal ketika acara KLSCM 2026 pagi tadi. Baca laporan penuh di www.portalmyberita.com. #MYBERITA #updatemyberita ♬ original sound – MYBERITA
Menurutnya, anggota polis yang bertugas kemudian mengarahkan motosikal berkenaan berhenti, namun penunggang dipercayai bertindak melarikan diri secara melawan arus.
“Akibat kejadian tersebut, seorang peserta wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan di bahagian leher dan sedang menerima rawatan di Prince Court.
“Seorang lagi peserta lelaki berusia 41 tahun pula mengalami kecederaan pada lutut kanan dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, saringan awal alkohol yang dijalankan terhadap penunggang motosikal berkenaan menunjukkan keputusan positif dengan bacaan EBA 164mg/100ml.
Penunggang dan pembonceng kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pengambilan sampel darah serta air kencing bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut beliau, penunggang motosikal itu direman selama tiga hari sehingga 5 Oktober, manakala pembonceng direman dua hari sehingga 4 Oktober.
Kedua-duanya ditahan di Lokap Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran. – MYBERITA
