Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, pasangan itu mempunyai peranan masing-masing ketika melakukan perbuatan khianat tersebut, dengan Prima Septia bertindak sebagai pemandu kereta dan merakam video kejadian, manakala suaminya menyimbah cat merah pada rumah mangsa.
Hasil siasatan mendapati kedua-duanya mengaku melakukan perbuatan berkenaan kerana mahu mendapatkan wang upah untuk melangsaikan hutang.
Kejadian terbongkar selepas pengadu menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mengandungi rakaman video memaparkan seseorang menyimbah cat merah pada pintu pagar rumah ibu mentuanya.
Difahamkan, pengadu turut memaklumkan bahawa suaminya pernah membuat pinjaman wang daripada along sebelum ini.
Susulan maklumat diterima, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan kedua-dua tertuduh pada hari kejadian.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama melakukan khianat dengan niat menyebabkan kerosakan terhadap harta milik mangsa dengan menyimbah cat merah pada sebuah rumah di Jalan Mida 2/1, Taman Mida 2, di sini, kira-kira pukul 11.21 pagi pada 12 Oktober lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Balqis Mohd Hilmi, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – BERITA HARIAN









