Marliza yang juga kakak sulung mangsa berkata, dia mengambil keputusan itu kerana bimbang anak-anak saudaranya masih terlalu kecil untuk memahami tragedi yang menimpa ibu mereka.
“Pagi tadi saya sudah beritahu mereka, ‘kakak, adik, ibu dah mati’. Bila ditanyakan mengapa, saya hanya menjawab kerana sakit.
“Saya tidak sanggup memberitahu mereka kejadian sebenar, lagipun, dengan usia semuda itu, sudah pasti mereka tidak mampu memahami,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Marliza, dia turut menjelaskan kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan bahawa jenazah ibu mereka akan dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan datuk dan nenek mereka.
“Saya juga beritahu yang ibu mereka nanti akan ditanam (dikebumi) dalam pasir sama dengan arwah tokmek dan ayoh (nenek dan datuk). Alhamdulillah, kedua-duanya yang berusia lima dan enam tahun itu seakan faham,” katanya.
Dalam pada itu, Marliza memaklumkan kediaman keluarga mereka di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Tumpat, masih menerima kunjungan saudara-mara dan kenalan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Katanya, jenazah Norhazwani dijangka dibawa pulang ke kampung halaman sebaik urusan bedah siasat yang dijalankan pagi tadi selesai.
“Perancangannya akan segera dikebumikan sebaik tiba di sini, sebab arwah pun sudah lama tiada, tidak perlulah dilengahkan.
“Insya-Allah, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung, Pengkalan Kubor,” katanya.
Terdahulu, Norhazwani ditemukan maut di rumah kakitangan kerajaan di Jalan Kuarters KLIA, Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin, dipercayai dibunuh suaminya yang berusia lingkungan 30-an.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami tiga kesan tikaman, masing-masing dua pada bahagian kiri perut dan satu pada pipi kanan.
Suspek yang menyerah diri kepada polis tidak lama selepas kejadian direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian









