Menurutnya, JAIS mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat setiap aduan secara menyeluruh bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan.
“Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali.
“Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Salehuddin berkata, orang ramai perlu memberi ruang kepada JAIS melengkapkan siasatan sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung kes berkenaan.
Beliau menjelaskan, tindakan pendakwaan hanya akan dipertimbangkan sekiranya siasatan menemukan keterangan yang jelas dan mencukupi untuk dibawa ke mahkamah.
“Percayalah JAIS akan melakukan sebaik mungkin siasatan dan kalau ada keterangan jelas, akan buat pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan mengenai penahanan itu juga bertujuan menjelaskan bahawa pihak berkuasa agama mengambil tindakan susulan aduan yang diterima, selain mengelakkan persepsi bahawa penguatkuasaan dilakukan secara sewenang-wenangnya.
Mengulas status dua individu yang ditahan, Salehuddin berkata, kedua-duanya dibebaskan selepas keterangan direkodkan dan dilepaskan dengan jaminan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Nik Nazmi mengesahkan beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang ditahan JAIS dalam kejadian di Petaling Jaya pada Khamis.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu menjelaskan, beliau bersama rakan-rakannya pada awalnya mengadakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur, sebelum meneruskannya di Petaling Jaya bagi meneliti bahan berkaitan projek yang dibincangkan. – Astro AWANI









