SUNGAI BULOH — Seorang pemandu lori berusia 31 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kemalangan membabitkan enam kenderaan di susur keluar Lebuhraya Guthrie menghala ke lampu isyarat Bukit Subang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Batu Arang ke Cyberjaya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Hasil siasatan awal berdasarkan rakaman video papan pemuka (dashcam) yang diperoleh mendapati lori itu terlebih dahulu melanggar Proton Saga terbabit, sebelum kereta berkenaan menghentam empat lagi kenderaan lain yang berada di lorong bersebelahan, dalam arah yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kemalangan itu menyebabkan kerosakan teruk pada semua kenderaan terlibat, selain mencederakan parah pemandu Proton Saga, iaitu seorang wanita berusia 29 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun yang duduk di kerusi bayi di tempat duduk belakang.
Antara kenderaan lain yang terlibat ialah dua buah kereta, sebuah van, serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Inspektor Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222.

