KUALA LUMPUR – Asean berjaya mencapai kemajuan penting dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal bagi menangani krisis Myanmar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, kumpulan itu dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra, dan baru-baru ini bersidang di Brunei dengan kehadiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
\”Berhubung krisis Myanmar, langkah positif berjaya diambil dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Formal bagi Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.
\”Kita juga amat menghargai kesudian bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen, untuk menjadi tuan rumah bagi mesyuarat akan datang,\” ujar beliau dalam ucapan pembukaan pada Sesi Plenari sempena Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Anwar menegaskan, sepanjang proses ini, Asean mengorak pendekatan secara senyap namun berkesan.
\”Meskipun langkah yang diambil kecil dan jambatan yang dibina tampak rapuh, namun seperti kata pepatah, dalam usaha menegakkan keamanan, jambatan rapuh jauh lebih baik daripada jurang yang terus melebar,\” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran Asean bergantung kepada sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif serta berpaksikan peraturan yang disokong oleh aliran bebas perdagangan, modal dan mobiliti rakyat.
“Malangnya, asas ini kini semakin terancam akibat tindakan sewenang-wenangnya oleh kuasa tertentu,” tambahnya.
Malaysia amat berbesar hati mempengerusikan Asean tahun ini, selaras dengan sedekad penubuhan Komuniti Asean yang membuka ruang refleksi dan peluang pembaharuan.
Beliau berkata, Asean akan melakar Wawasan 20 Tahun yang berpandangan jauh ke hadapan, memerlukan komitmen tidak berbelah bahagi dan kesepakatan bersama.
“Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini mengangkat tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’. Tema ini bukan sekadar mencerminkan aspirasi kita, malah tanggungjawab yang perlu digalas bersama.
\”Ia berteraskan keyakinan bahawa masa depan Asean mesti dibina atas dua tunggak utama, iaitu pertumbuhan saksama dan lestari serta daya tahan yang kekal berpanjangan,” kata beliau.
“Prinsip ini mesti dijadikan teras kepada agenda dan wawasan Asean.
\”Malaysia amat menghargai sokongan semua pihak dalam memastikan kepengerusian kita tahun ini mampu menjayakan visi bersama ini,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa sejak mesyuarat ketiga yang diadakan di Bangkok, Asean telah berjaya mengorak langkah ke hadapan dalam usaha menyelesaikan krisis Myanmar secara tuntas.

