“Perpustakaan tidak hanya menjadi tempat simpanan buku atau ruang berestetika, malah perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya dan wacana intelektual yang aktif,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (Consal XIX) di ibu negara, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa para pustakawan di rantau ini untuk melangkaui peranan tradisional mereka yang selama ini lebih tertumpu kepada penyimpanan dan pemeliharaan bahan bacaan semata-mata.
Katanya, pustakawan perlu tampil lebih progresif dengan menyahut cabaran memupuk budaya membaca yang dinamik, khususnya dalam kalangan generasi muda yang lebih dekat dengan teknologi.
“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya dalam almari kaca. Sebaliknya, mereka perlu menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting dalam meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi,” ujar beliau.
Persidangan Consal XIX yang menghimpunkan pustakawan dan pengamal maklumat dari negara Asia Tenggara itu berlangsung sebagai platform perkongsian idea dan strategi dalam memperkasa peranan perpustakaan di era digital. – MYBERITA








