“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)],” jelas kenyataan itu.
Menurut MCMC, tindakan undang-undang ini diambil selepas kegagalan serius pihak Telegram untuk menangani kandungan berkenaan walaupun telah berulang kali dilaporkan dan pelbagai usaha rundingan serta kerjasama telah dijalankan.
Sehubungan itu, MCMC telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan serta menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya.
“Tindakan ini diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” ujar MCMC.
Namun begitu, MCMC turut menegaskan bahawa pihak Telegram akan diberi ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
Sebagai badan kawal selia, MCMC mengingatkan semua penyedia platform media sosial agar bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.
“MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa terhadap mana-mana platform lain demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna negara ini,” katanya. – MYBERITA








