KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan penamatan kontrak Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda, berkuat kuasa Isnin, 30 Jun 2025.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Komunikasi Strategik Felda, Ahmad Shabery yang menerajui Felda sejak dua tahun lalu memainkan peranan penting dalam memperkukuh semula ekosistem organisasi itu bersama anak-anak syarikatnya.
“Beliau banyak menyumbang dalam mempercepatkan proses penyahsenaraian FGV Holdings Berhad, yang telah membantu mengembalikan keyakinan rakan strategik serta meningkatkan imej dan prestij Felda,” menurut kenyataan itu.
Felda juga menegaskan bahawa pendekatan kepimpinan Ahmad Shabery diterjemahkan menerusi gagasan ‘Segalanya Felda’, yang menjadi teras penyatuan organisasi dan komuniti Felda.
“Tugas rasmi terakhir beliau ialah mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Felda pada jam 2.30 petang, hari ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Felda turut merakamkan penghargaan atas sumbangan dan kepimpinan Ahmad Shabery sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Untuk rekod, Ahmad Shabery telah dilantik sebagai Pengerusi Felda pada Julai 2023.
Setakat ini, Felda belum mengumumkan nama pengganti bagi jawatan tersebut.

