Pemandu kenderaan JPJ digantung tugas selepas tular memandu bahaya

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung tugas serta-merta selepas tindakannya memandu kenderaan jabatan secara berbahaya di Jalan Simpang Pulai, Perak tular di media sosial hari ini.

Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) seorang pengguna jalan raya sebelum dimuat naik ke media sosial, memaparkan kenderaan JPJ memotong di garisan berkembar secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa selain digantung tugas, anggota berkenaan telah dipindahkan ke jawatan kumpulan di ibu pejabat sehingga siasatan selesai.

“Notis saman telah dikeluarkan kepada anggota yang memandu atas kesalahan memotong di garisan berkembar dan beliau juga dilarang sama sekali daripada memandu kenderaan jabatan,” katanya.

Menurutnya, JPJ memandang serius insiden tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau kakitangan jabatan yang melanggar peraturan jalan raya.

Tambah beliau, siasatan dalaman juga sedang dijalankan terhadap anggota berkenaan bagi mengenal pasti jika terdapat kesalahan lain.

“JPJ juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang telah merakam dan melaporkan kejadian itu. Kami menggalakkan orang ramai untuk terus membuat aduan sekiranya menyaksikan pelanggaran undang-undang jalan raya,” ujarnya.

Orang ramai disaran membuat aduan secara terus melalui aplikasi MyJPJ, e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my, atau menggunakan saluran e-aduan@jpj dengan menyertakan bukti dan maklumat lengkap.

Klip video tular berdurasi beberapa saat itu menunjukkan kenderaan JPJ terbabit hampir melanggar sebuah kenderaan dari arah bertentangan dalam cubaan memotong secara melulu kira-kira jam 10.18 pagi. Mujur, pemandu berkenaan sempat mengelak daripada berlaku pelanggaran.

Insiden ini sekali lagi mengingatkan pentingnya pematuhan undang-undang jalan raya oleh semua pihak, termasuk agensi penguat kuasa.

BACA JUGA:  Tragedi UPSI: Masih tiada komen dari syarikat bas
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com