“Saya tak bersalah”, CEO Batu minta dibicarakan atas tuduhan amang seksual

KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai “CEO Batu” didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada Mei lalu.

Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

“Saya tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan,” katanya ketika prosiding berlangsung.

Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Iqbal didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun 10 bulan.

Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah premis di Batu Caves kira-kira jam 1.16 pagi pada 16 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, manakala tertuduh diwakili tiga peguam iaitu Mohd. Anif Rafih, Amer Haiqal Mohd. Yusof dan Muhammad Zulhanif Mohd. Anas.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, MYBERITA melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai “CEO Batu” ditahan polis selepas disyaki menghantar mesej dan gambar berunsur seksual kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

BACA JUGA:  KPM ambil serius kewujudan halaman pedofilia libatkan murid sekolah
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...