ALICANTE – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kekalahan pertama dalam siri perlawanan persahabatan pramusim apabila tunduk 0-1 kepada Valencia Mestalla dalam aksi yang berlangsung di Stadio Olimpic Camilo Cano, awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain muda berusia 17 tahun, Jaume Dura, yang juga merupakan antara prospek terbaik pasukan simpanan Valencia CF itu pada minit ke-35.
Sebelum ini, skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan dua kemenangan ke atas Real Murcia Imperial (4-0) dan Costa City (1-0), serta dua keputusan seri menentang Cardiff City (2-2) dan Levante UD (0-0).
Nazmi Faiz Mansor turut diberi peluang beraksi dalam perlawanan menentang kelab yang beraksi di divisyen keempat bola sepak Sepanyol itu.
Selepas lima aksi pemanas badan menjelang sepak mula Liga Malaysia pada 8 Ogos nanti, JDT kini mengumpul rekod pramusim dengan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
JDT dijadualkan meneruskan kempen pramusim mereka menentang kelab dari Qatar, Al-Rayyan SC, dalam aksi persahabatan seterusnya yang bakal berlangsung di Pusat Latihan San Pedro Del Pinatar, esok.

