KUANTAN – Dua penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang maut dalam kemalangan pagi tadi disahkan sebagai penghafaz 30 juzuk al-Quran yang sedang menyambung pengajian dalam bidang tahfiz di Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan.
UnIPSAS dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan kehilangan besar atas pemergian dua pelajar yang disifatkan sebagai berakhlak mulia dan mencintai ilmu agama.
“Kedua-dua allahyarham merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad sehingga tingkatan tiga sebelum menyambung pengajian tahfiz. Mereka juga telah berjaya menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran,” menurut kenyataan itu.
UnIPSAS turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan menyeru seluruh warga kampus untuk menyedekahkan al-Fatihah buat kedua-dua arwah.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi tadi, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya hilang kawalan dan merempuh sebuah ambulans.
Rakannya, Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian), pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Pihak universiti dan rakan-rakan pelajar turut melahirkan rasa sedih dan kehilangan, menyifatkan kedua-duanya sebagai pelajar contoh yang disenangi ramai serta aktif dalam aktiviti keagamaan.

