“Kawasan ini terletak di zon sempadan yang mempunyai pos pemeriksaan, dan ada kemungkinan penunggang motosikal atau pengembara karavan secara tidak sengaja memasuki kawasan tersebut.
“Tiga rakyat Malaysia yang berdaftar menetap di wilayah yang dilaporkan terlibat. Selepas dihubungi, ketiga-tiga mereka mengesahkan berada dalam keadaan selamat. Tiada permintaan bantuan diterima setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bong turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di kawasan terbabit supaya segera mendaftar dengan kedutaan bagi membolehkan mereka menerima maklumat terkini serta bantuan sekiranya berlaku kecemasan.
“Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan, sila hubungi talian kecemasan kedutaan di +66 87028 4659,” katanya lagi.
Tambah beliau, pihak kedutaan akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Terdahulu, media melaporkan berlaku pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja pada Khamis di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian, dengan kedua-dua negara saling menuduh sebagai pihak yang mencetuskan konfrontasi.
Ketegangan meningkat sejak 28 Mei lalu susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Thailand dan Kemboja telah berselisih pandangan berhubung kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad, sekali gus menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Susulan ketegangan itu, kerajaan Thailand pada Rabu mengambil langkah menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja selepas seorang anggota tenteranya cedera akibat letupan periuk api yang didakwa baru dipasang.
Sebagai tindak balas, kerajaan Kemboja turut menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap paling rendah pada Khamis. – MYBERITA








