MOSCOW – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) di Moscow sebagai sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Rusia.
Menurut kenyataan rasmi di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ketibaan Seri Paduka Baginda di pusat penyelidikan dan pembangunan automotif terkemuka itu disambut oleh Ketua Pengarah NAMI, Fedor Nazarov.
âNAMI merupakan pusat saintifik dan kejuruteraan terulung di Persekutuan Rusia dengan pengalaman melebihi seratus tahun,â menurut kenyataan itu.
Pusat itu berperanan sebagai hab yang menghimpunkan pakar-pakar kejuruteraan bertauliah dalam reka bentuk, pembinaan dan ujian pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta penumpang mewah, jentera pertanian serta komponen automotif berinovasi tinggi.
Turut mengiringi keberangkatan Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohd Zin.
Sultan Ibrahim turut berkenan menerima taklimat khas mengenai pencapaian dan inovasi teknologi automotif terkini yang sedang dibangunkan oleh NAMI.

Seusai sesi taklimat, Seri Paduka Baginda kemudian melawat ruang pameran yang menampilkan beberapa model kenderaan jenama Aurus, lambang kejuruteraan automotif negara itu.
Menariknya, Sultan Ibrahim turut meluangkan masa memandu uji model Aurus Senat, yang diiringi sendiri oleh Fedor Nazarov, memperlihatkan minat mendalam Seri Paduka Baginda terhadap bidang teknologi dan kejuruteraan automotif.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Albert Anvarovich Karimov.

