Umar yang memegang rekod kebangsaan 46.09 saat (s) menegaskan, misinya di Tokyo kali ini bukan sahaja untuk memperbaharui catatan peribadi malah melakar sejarah sebagai pelari pertama Malaysia menembusi kelompok bawah 46s.
“Impian saya bukan sekadar berlari pantas, tetapi mahu buktikan Malaysia juga boleh bersaing di peringkat dunia. Saya mahu berikan sesuatu yang membanggakan buat Jalur Gemilang,” katanya yang menerima tiket wildcard ke kejohanan berprestij itu.
Di bawah kendalian jurulatih berpengalaman, Simon Lau, Umar melalui persediaan rapi meliputi aspek fizikal, teknikal serta mental. Perancangan sistematik itu dilihat menjadi kunci penting kepada rentak konsistennya sepanjang musim ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin turut menyifatkan kejohanan dunia di Tokyo sebagai pentas ‘uji tahap sebenar’ buat Umar sebelum menghadapi Sukan SEA tahun depan.
“Thailand kini memiliki beberapa pelari dengan catatan lebih baik daripada Umar. Jadi kejohanan ini bukan sahaja peluang dia buru rekod baharu, tetapi juga persediaan penting ke temasya serantau. Kalau mampu tembus bawah 46s, keyakinan pasti bertambah,” jelasnya.
Bagi Umar, Tokyo hanyalah permulaan. Anak jati Johor itu mahu menjadikan larian kali ini sebagai titik lonjakan kerjaya yang mampu mengubah persepsi dunia terhadap kemampuan atlet Malaysia dalam acara pecut jarak sederhana. – MYBERITA








